Luluskan segera pengeluaran KWSP, tak perlu risau masa depan pencarum – PGIRM
KERAJAAN dilihat hanya risaukan masa depan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika dibenarkan mengeluarkan simpanan itu sekali lagi ketika ini, namun tidak pula memikirkan nasib pencarum yang sudah pun bersara,
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir, berkata beliau tidak melihat apa-apa bentuk bantuan yang diberikan kepada pencarum yang telah bersara jika mereka di dalam kesusahan ketika ini.
“Saya melihat kebimbangan dan kerisauan menteri tidak seimbang, hanya bimbangkan pencarum yang mahu mengeluarkan pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 bersasar ketika ini dan tidak pedulikan pencarum yang telah bersara sebelumnya.
“Maaf pada ketika itu (pencarum bersara) pemimpin pun silih berganti dan bukan kekal selamanya dan jangan risau Allah SWT telah menjamin rezeki pada setiap hamba-hambanya di atas muka bumi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pencarum silih berganti dan jika menteri bimbangkan nasib pencarum semasa bersara dimasa depan, mereka disaran turun padang melihat sendiri nasib 480,000 pencarum yang telah bersara pada usia 55 tahun pada 2022.
“Adakah mereka mati tak makan? Adakah mereka hidup bergelandangan? Adakah mereka menyusahkan kerajaan.
“Jawapannya sudah pasti tidak. Mereka tidak menyusahkan kerajaan sedikit pun dan apa yang mereka lakukan? Mereka teruskan hidup dengan berniaga kecil-kecilan atau bekerja makan gaji untuk keperluan harian,” katanya.
Menurutnya, pencarum yang sudah bersara secara automatik akan berdikari dan mereka cuma mendapat manfaat diskaun sebagai warga emas.
“Justeru kebimbangan apa yang merunsingkan pihak kerajaan mengenai apa akan jadi bila pencarum tidak punyai wang persaraan?
“Bagaimana pula dengan nasib pencarum yang telah pun bersara sekarang? Kerajaan tidak runsing dan bimbang?” soalnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan KWSP.
Menurutnya, simpanan KWSP adalah perkara yang penting bagi mengelakkan rakyat ditimpa kesusahan apabila tiba masa bersara kelak. – Malaysiapost