Malaysia kutuk keputusan Zionis buka 9 lagi penempatan haram

Malaysia kutuk keputusan Zionis buka 9 lagi penempatan haram

MALAYSIA mengutuk dan menolak tindakan rejim Israel meneruskan pembukaan sembilan lagi pos penempatan haram dalam wilayah Palestin di Tebing Barat.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Wisma Putra hari ini, Malaysia berpendirian tindakan itu dan kewujudan penempatan haram serta pengembangannya jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan.

Menurutnya, ia termasuk Konvensyen Geneva Keempat 1949 berkaitan dengan Perlindungan Orang Awam Semasa Perang dan pelbagai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), terutana Resolusi 2334 (2016).

“UNSC mempunyai tanggungjawab utama untuk memastikan penghormatan dan pematuhan kepada resolusinya.

“Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis adalah wilayah Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Perluasan penempatan haram Israel bermakna semakin banyak tanah Palestin dirampas secara haram.

“Menghalalkan penempatan tersebut adalah satu percubaan yang jelas untuk menjadikan pendudukan Israel sebagai kekal,” menurut kenyataan itu.

Justeru, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa agar tidak membenarkan perkara itu berlaku, dan UNSC perlu mendesak rejim Israel membatalkan keputusan itu dan merobohkan penempatan haramnya.

“Malaysia berpegang teguh pada komitmen tidak berbelah bahagi dalam menyokong perjuangan Palestin, termasuk menentang pendudukan haram Israel yang berterusan, penindasan sistematik dan dasar apartheid di wilayah Palestin.

“Rakyat Palestin mempunyai hak mutlak untuk negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, berdasarkan persempadanan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya,” katanya.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Israel memutuskan untuk meneruskan pembukaan sembilan lagi pos penempatan haram Yahudi di Tebing Barat tanpa mempedulikan teguran Amerika Syarikat (AS).

Rejim zionis itu turut mengumumkan pembinaan besar-besaran kediaman baharu di kawasan penempatan yang sudah ditetapkan.

Dua pemimpin haluan kanan pro penerokaan haram dalam kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, mengumumkan keputusan itu telah dibuat pada 1 November lalu itu. – Malaysiapost

Komen