Mana gambar Muhyiddin datang pejabat SPRM? – Puad

Mana gambar Muhyiddin datang pejabat SPRM? – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan ketiadaan liputan media ketika bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) kelmarin.

Mohd Puad berkata, situasi itu berbeza dengan Datuk Seri Najib Razak ketika dipanggil SPRM dan wajah bekas Perdana Menteri itu yang disiarkan menerusi media digambarkan seperti sudah bersalah.

“Najib disuruh pula bermalam di pejabat SPRM. Untung Muhyiddin kerana boleh balik tidur di rumah. Rumah Najib kena serbu sehingga dia terpaksa tidur atas sofa.

“Muhyiddin patut bersyukur. Dia tidak dilayan begitu. Tetapi tidak payahlah tunjuk garang di Parlimen. Keadilan ada gilirannya. Slowly but surely,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilapor sudah dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berkaitan isu membabitkan wang RM300 juta yang didakwa diterima Bersatu.

Muhyiddin memberi keterangannya kepada agensi pencegahan rasuah itu di Putrajaya, semalam.

Bagaimanapun tiada maklumat lain yang diperincikan.

SPRM sebelum ini memaklumkan akan memanggil Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berhubung siasatan ke atas kewangan parti itu.

Bersatu sebelum ini didakwa menerima hingga RM300 juta daripada kontraktor sebagai dana politik ketika pentadbiran Muhyiddin. – Malaysiapost

Komen