Murid rosakkan harta sekolah dikenakan khidmat komuniti

Murid rosakkan harta sekolah dikenakan khidmat komuniti

KUMPULAN murid yang melakukan vandalisme dengan merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas dan pintu tandas sebuah sekolah di Pulau Pinang seperti yang tular di media sosial hari ini, akan dibabitkan dalam khidmat komuniti.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dalam satu kenyataan, hari ini menegaskan memandang serius sebarang salah laku termasuklah vandalisme dan gangsterisme membabitkan murid sekolah di negeri berkenaan.

Menurutnya, pihak pentadbir sekolah di semua peringkat juga seringkali diingatkan untuk mengambil langkah-langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.

“JPN Pulau Pinang mengambil maklum tentang rakaman video tular, yang mana memaparkan perlakuan murid merosakkan harta benda sekolah pada hari akhir sesi persekolahan 2022.

“JPN Pulau Pinang amat kesal akan kejadian tersebut dan akan memastikan isu ini diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah.

“Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPN Pulau Pinang, tindakan sewajarnya sedang diambil oleh pihak sekolah, yang mana sekolah telah memanggil murid yang terlibat bersama waris mereka pada hari ini bagi membincangkan isu berkenaan.

“Murid akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

“Nilai kerugian kerosakan harta benda turut sedang dalam siasatan,” katanya.

JPN Pulau Pinang turut menegaskan sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian.

“Justeru kempen hentikan vandalisme serta pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiatkan agar selari dengan tujuh teras KPM,” katanya.

Sementara itu, portal-portal yang menyiarkan video membabitkan kejadian itu tanpa menutup muka murid-murid yang terbabit disaran untuk memadam video berkenaan kerana bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu rakaman aksi kumpulan murid lelaki merosakkan harta benda sekolah itu, mendapat perhatian ramai selepas video tersebut tular di media sosial.

Beberapa video berdurasi lebih dua minit memaparkan kumpulan pelajar itu merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas, pintu tandas malah melakukan vandalisme.

Mengulas berkenaan rakaman tersebut, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang dan murid yang terbabit sudah dikenal pasti.

Tegas Fadhlina, pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan perbuatan vandalisme serta keganasan yang dilakukan pelajar terbabit. – Malaysiapost

Komen