Pengusaha makanan tawar Menu Rahmah ibarat buat pinjaman ‘baik’ – Khairuddin

Pengusaha makanan tawar Menu Rahmah ibarat buat pinjaman ‘baik’ – Khairuddin

PENGUSAHA makanan yang bersedia mengurangkan untung untuk berkongsi kebaikan dengan rakyat menerusi Menu Rahmah disifatkan telah melakukan ‘Qard Hasan’ iaitu pinjaman yang baik kepada Allah SWT tanpa mengharapkan balasan.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata Menu Rahmah yang telah diperkenalkan kerajaan baru-baru ini semakin mendapat sambutan pengusaha makanan.

“Ramai yang mengalu-alukannya disebalik segelintir orang politik yang akan sentiasa cuba memperkecilkan sebarang usaha baik oleh lawan politik.

“..termasuk menakut-nakutkan rakyat dengan kebimbangan penyakit kononnya akibat makanan berkualiti rendah kerana dijual dengan harga kecil,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Menu Rahmah yang mula diperkenalkan awal bulan ini dilaporkan sudah menarik penyertaan 512 premis seluruh negara.

Semua premis itu mewakili pelbagai jenis masakan termasuklah kedai masakan panas, restoran India Muslim dan serta rangkaian restoran makanan segera.

Inisiatif menawarkan makanan pada harga RM5 itu juga akan dilaksanakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya PLUS dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata Allah SWT menggambarkan infaq dan sedekah oleh manusia kepada manusia yang lain sebagai ‘Qard Hasan’ kepada Allah SWT.

“Qard Hasan ialah konsep memberi pinjam tanpa dikenakan caj tambahan apabila membayar kembali.

“Meskipun peminjam tidak mengharapkan balasan, namun Allah pula yang membalas pinjaman baik itu dengan melipatkan gandakan keuntungan,” katanya. – Malaysiapost

Komen