Perbaharui tekad, insafi peristiwa Israk Mikraj – Anwar

Perbaharui tekad, insafi peristiwa Israk Mikraj – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia memperbaharui tekad serta menginsafi ibrah daripada pengalaman Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj.

Perdana Menteri turut meminta umat Islam untuk bangkit lebih bertenaga memulihkan maruah serta meningkatkan martabat dan harakat rakyat.

“Semoga negara kita akan terus beroleh keredhaan Allah SWT,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sempena Israk dan Mikraj, Anwar mengenang kembali peristiwa agung permusafiran ruhaniyyah yang dihadiahi Allah SWT kepada kekasihNya tatkala sedang diuji berat dengan pemergian suri hatinya Khadijah dan bapa saudara Abu Talib.

Menurutnya, maruah dihina dalam episod getir di Taif hampir menjatuhkan semangat junjungan Baginda, namun ternyata pulih selepas kembali dari Sidratul Muntaha, sambil mengemban amanah baharu membebaskan umat daripada belenggu kejahilan.

“Maka, bermulalah kewajiban solat lima waktu selaku tonggak perhubungan abadi antara hamba dengan Penciptanya.

“Akidah dan akhlak harus diperteguh sebelum umat tampil memikul kewajiban yang lebih rumit melibatkan kebajikan rakyat dan negara.

“Justeru, di samping mengenang peristiwa agung ini, sama-sama kita memperbaharui tekad serta menginsafi ibrah daripada pengalaman junjungan tercinta Baginda untuk bangkit dengan lebih bertenaga,” katanya.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut hari ini adalah peristiwa memuktamadkan kewajiban melaksanakan solat lima waktu bagi umat Islam selain Nabi Muhammad SAW dapat menyaksikan sendiri kebesaran Allah SWT.

Ia berlaku setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah yang kemudiannya menjadi model pengurusan pentadbiran Islam yang berjaya dalam perkembangan dakwah dan hubungan harmoni pelbagai agama. – Malaysiapost

Komen