Rujuk pejabat kadi sebelum anjur aktiviti agama, budaya di Johor
UMAT Islam di Johor dinasihatkan merujuk ke pejabat kadi daerah sebelum menganjurkan majlis membabitkan agama serta budaya khususnya aktiviti tradisional yang mempunyai unsur pemujaan dan kerasukan seperti persembahan kuda kepang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata ia bagi mengelakkan usaha memelihara dan memartabatkan kebudayaan menjadi aktiviti yang boleh menjejaskan pegangan agama.
“Galakan untuk merujuk ke pejabat kadi daerah ini bukan hanya membabitkan aktiviti kebudayaan, namun untuk mereka yang mahu mendapatkan penjelasan sekali gus meningkatkan kefahaman mereka.
“Langkah ini bertujuan mengelakkan mereka terbabit dengan perbuatan yang boleh menjejaskan pegangan agama,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Negeri Johor 1444H di Masjid Sultan Ibrahim, malam tadi.
Menurutnya, kerajaan negeri masih dalam peringkat kajian tambahan bagi memperhalusi sebarang penganjuran persembahan kuda kepang dengan semakan akhir dijalankan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebelum mendapatkan ulasan daripada Jabatan Mufti Johor.
Terdahulu, tular di aplikasi TikTok memaparkan video persembahan kuda kepang dipercayai di Johor membabitkan elemen pemujaan dan kerasukan.
Untuk rekod, tarian kuda kepang tradisional mempunyai unsur pemujaan dan kerasukan sudah difatwakan sebagai haram oleh Jawatankuasa Fatwa Johor yang bersidang pada 18 Februari 2009.
Sementara itu, Mohd Fared berkata, sebanyak 160 masjid dan 140 sekolah agama di negeri ini akan dipasang dengan kemudahan Wi-Fi percuma pada penghujung bulan ini. – Malaysiapost
Kredit foto: Bernama