‘Saya tiada kuasa pilih calon ketika PRU15’ – Ismail Sabri

‘Saya tiada kuasa pilih calon ketika PRU15’ – Ismail Sabri

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil menjawab selepas dipersalahkan pihak tertentu sebagai punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Umno itu berkata, walaupun dipilih sebagai poster boy pada PRU15 lalu, namun ia tidak bermakna beliau mempunyai kuasa sepenuhnya semasa memilih calon dan lebih malang lagi banyak calon yang sepatutnya menang disingkirkan.

“Poster boy dalam PRU15 baru-baru ini hanyalah poster boy, poster boy sebagai poster… poster sahajalah.

“Tapi dari segi kuasa sebagai poster boy tidak ada… Sebagai contoh, memilih calon. Kalau saya nak jadi Perdana Menteri, ini bermaksud Ahli Parlimen itu sayalah pilih sepatutnya sebab yang menang itu akan bekerja dibawah saya…

“Saya akan lantik mereka jadi menteri,” katanya dalam sebuah temu bual yang disiarkan secara langsung di media sosial.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak diberi kuasa memilih memilih calon dan ramai calon-calon yang juga merupakan rakan berada dalam pentadbirannya sebelum ini turut tidak dicalonkan semula.

“Bukan sahaja saya tidak memilih calon, tetapi calon-calon saya, kawan-kawan saya kena pancung.

“Annuar Musa (Tan Sri Annuar Musa) kena pancung, Shahidan Kassim (Datuk Seri Shahidan Kassim) kena pancung, Tajuddin Rahman (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman), YB Salim Jempol (Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif), Dr Adham Baba (Datuk Seri Dr Adham Baba), Halimah Sadique (Datuk Halimah Mohamed Sadique) diantara contoh calon kena pancung,” katanya lagi.

Menurut beliau, melihat kepada senario tersebut apabila banyak calon-calon yang rapat dengan beliau disingkirkan, ia jelas menunjukkan kuasa sebagai poster boy sama sekali tidak ada.

“Poster boy tapi menteri-menteri yang saya nak lantik yang ini bukan dikalangan saya, itu pun dah nampak jelas… Saya poster boy tapi tak ada kuasa sebagai poster boy,” ujarnya.

Beliau berkata, manifesto yang dibentangkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara bersendirian semasa kempen PRU15 lalu bukan dibuat oleh beliau walaupun diletak sebagai poster boy bagi Umno-BN.

“Waktu manifesto diumumkan, saya tiada… Poster boy pun orang tak jelas, betul ke saya.

“Sebab itu dalam pilihan raya ada timbul kempen dimana-mana mengatakan ‘Undi BN, Zahid PM’… Undi BN, dapat Zahid sebagai PM dan waktu pilihan raya semua kempen seperti itu,” katanya. – Malaysiapost

Komen