Subsidi ayam, telur dikaji semula Jun ini – Mohamad Sabu
KERAJAAN akan mengkaji semula keperluan untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur pada Jun ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehingga kini sebanyak RM1.8 bilion subsidi telah diberikan kepada mereka.
Beliau berkata, jumlah berkenaan dijangka melebihi RM2 bilion sehingga pertengahan tahun ini.
“Menjelang Jun kita akan buatkan kajian untuk teruskan subsidi atau kaedah lain bagi memastikan harga bahan mentah tersebut kembali stabil.
“Itu yang sedang kita kaji, kalau sudah stabil apa perlu lagi subsidi dan berbelanja wang (subsidi) itu boleh digunakan di tempat-tempat lain yang lebih memerlukan,” katanya lapor Bernama.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sudah meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) supaya melakukan pemeriksaan secara terperinci terhadap telur yang diimport dari India demi memastikan tahap kualitinya mencapai standard ditetapkan.
“JPV akan melakukan pemeriksaan segera dan sebarang maklum balas berkenaan perkara itu akan dilaporkan kepada kementerian,” katanya.
Semalam, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dilapor menggesa kerajaan supaya sentiasa memastikan telur yang diimport dari India diperiksa dengan sewajarnya bagi mengelak penjualan telur tidak berkualiti dan telah tamat tempoh. – Malaysiapost