Syed Muhammad Naquib layak dinobat Profesor Diraja
ANGKATAN Anak Muda (Armada) Bersatu Malaysia menyokong cadangan agar kerajaan menganugerahkan gelaran Profesor Diraja kepada Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata cadangan itu diutarakan Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah semasa sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurutnya, tokoh ilmuan negara yang tersohor itu adalah watak penting yang mengasas banyak institusi ulung seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Bahasa dan Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM).
Beliau berkata, Syed Muhammad juga megasaskan ‘International Institute of Islamic Thought and Civilisation’ (ISTAC) dan banyak lagi.
“Sumbangan ilmiah beliau amat besar dalam mendepani cabaran zaman moden khususnya dalam menangkis fahaman sekularisme dan salah tafsir perihal sejarah peradaban Islam dan Melayu yang ditinggalkan oleh cendekiawan penjajah.
“Gagasan Pengislaman Ilmu Kontemporari yang beliau mulakan meninggalkan kesan mendalam ke atas pendidikan umat Islam di seluruh dunia sehingga lahirnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, jasa beliau kepada pembangunan modal insan umat Islam dan orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya adalah tidak ternilai dan perlu diberi pengiktirafan di peringkat tertinggi oleh negara.
“Maka dengan ini, Armada menyokong penuh cadangan penganugerahan gelaran Profesor Diraja kepada Tan Sri Prof Syed Naquib Al-Attas,” katanya. – Malaysiapost