Terpalit kontroversi, filem Pulau diharamkan di Terengganu
SELEPAS menerima reaksi ramai berikutan dikatakan mengandungi adegan ‘panas’, filem bergenre seram Pulau telah diharamkan untuk disiarkan di mana-mana pawagam di Terengganu.
Penerbit filem, Fred Chong berkata, filem Pulau yang akan ditayangkan di seluruh negara mulai 9 Mac dikhuatiri akan menerima kesan besar jika negeri lain mengambil keputusan yang sama dengan kerajaan negeri Terengganu.
Katanya, dia sedia untuk berbincang agar kerajaan Terengganu menarik semula larangan tayangan filem Pulau di negeri tersebut.
Fred turut menyatakan kesediaannya untuk ke Terengganu untuk membuat rayuan kepada kerajaan negeri berhubung perkara itu.
“Keputusan kerajaan negeri mengharamkan filem tersebut menimbulkan kebimbangan dan dikhuatiri akan mempengaruhi negeri lain untuk membuat tindakan yang sama.
“Jadi, sebaik menerima keizinan kerajaan negeri, saya akan terbang ke Kuala Terengganu untuk membuat rayuan dan menayangkan filem ini kepada wakil mereka untuk dinilai,” katanya dalam sidang media secara maya.
Dalam masa sama, Fred memaklumkan pihak TGV pada 9 Februari lalu telah menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman yang menyatakan tentang keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu melarang filem tersebut ditayangkan di negeri itu.
Menurutnya, pihak pengurusan telah menanggung kerugian hampir RM500,000, susulan tindakan penaja menarik tajaan selepas filem tersebut dikritik hebat, baru-baru ini.
Katanya, dia khuatir akan menanggung lebih banyak kerugian sekiranya salah faham masyarakat terhadap filem itu tidak diperbetulkan.
“Sebanyak RM4 juta telah diperuntukkan untuk membuat filem ini, namun kami terpaksa menanggung kerugian akibat kontroversi.
“Apabila penaja menarik diri, kami tidak mampu mengiklankan filem ini di papan gergasi dan menganjurkan malam gala besar-besaran kerana tiada peruntukan,” ujarnya.
Sebelum kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pengharaman filem itu, Pulau dijangka bakal ditayangkan di 75 pawagam seluruh negara.
Filem yang menampilkan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Joey Leong, Sanjna Suri, Pui Yi dan ramai lagi itu terpalit kontroversi selepas treler yang ditayangkan di YouTube, memaparkan adegan-adegan panas yang tidak sesuai dengan norma budaya Malaysia. – Malaysiapost