Tular aksi sekumpulan pelajar lelaki rosakkan harta benda sekolah

Tular aksi sekumpulan pelajar lelaki rosakkan harta benda sekolah

RAKAMAN aksi sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah, mendapat perhatian ramai selepas video tersebut tular di media sosial, hari ini.

Beberapa video berdurasi lebih dua minit memaparkan kumpulan pelajar itu merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas, pintu tandas malah melakukan vandalisme.

Mengulas berkenaan rakaman tersebut, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Katanya, kumpulan pelajar lelaki terbabit juga sudah dikenal pasti dan dipanggil bagi membantu siasatan.

Tegas Fadhlina, pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan perbuatan vandalisme serta keganasan yang dilakukan pelajar terbabit.

“Perkara ini (kegiatan vandalisme) berada dalam pengetahuan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Tindakan pertama sekolah adalah memanggil anak-anak ini (pelajar) dan ibu bapa mereka untuk siasatan.

“Berdasarkan video tular itu, saya tidak fikir ia satu perkara yang sepatutnya berlaku dan kita memang tidak berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan.

“Untuk hal ini, bimbingan dan kaunseling juga difikirkan perlu diberikan kepada pelajar terbabit,” katanya kepada pemberita di Nibong Tebal, hari ini.

Sementara itu, Fadhlina turut meminta orang awam tidak menularkan video itu dan menurunkannya dengan segera.

“Saya harap perkara ini tidak ditularkan dan berharap semua pihak dapat menurunkan video terbabit supaya kita dapat memberikan tumpuan untuk pemulihan kanak-kanak ini, khususnya kaunseling kepada mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen