Tun M sedia bimbing Putra
TUN Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan akan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan tidak menolak sekiranya parti itu mahu melantik beliau sebagai penasihat.
Bekas Perdana Menteri itu turut menyifatkan jemputan menyertai Putra sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.
“Terima kasih atas jemputan ini dan saya akan meneliti terlebih dahulu sama ada Putra ini sesuai atau tidak dengan saya.
“Setakat ini, saya tidak nampak sebab tidak boleh terima parti ini, saya akan fikir secara mendalam sebelum keputusan dibuat.
“Saya akan membuat permohonan menjadi ahli dan kalau mahu bagi saya sebagai penasihat parti, saya boleh bagi nasihat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama pimpinan Putra, di Putrajaya hari ini.
Putra akan menjadi parti keempat disertai bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu selepas Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dr Mahathir mengetuai Umno sejak 1981 sebelum mengumumkan peletakan jawatannya pada 22 Jun 2002 yang dikuatkuasakan pada Oktober 2003.
Beliau mengumumkan keluar parti berkenaan pada 29 Februari 2016 atas alasan parti itu wujud hanya untuk kepentingan seorang individu.
Beliau kemudian menyertai Bersatu pada September 2016 sebelum meletak jawatan pada 24 Februari 2020.
Pada Ogos 2020, Dr Mahathir menubuhkan Pejuang dengan beliau menjadi pengerusi, namun meninggalkan parti itu pada 10 Februari lalu.
Sementara itu, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali, yakin Dr Mahathir masih memiliki aura untuk memimpin parti itu.
“Kita mahu Tun sertai Putra. Kami mohon seikhlas hati dan tidak timbul soal Tun mahu memohon sertai Putra atau tidak. Kita juga jemput 14 bekas pimpinan Pejuang untuk sertai Putra.
“Kita doakan Tun dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali diberi kesihatan berpanjangan dan kami mahu sehidup semati dengan perjuangan Tun,” katanya. – Malaysiapost