Tuntutan Sulu: Kerajaan tak kompromi soal kedaulatan negara
KERAJAAN tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kedaulatan negara termasuk tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris kumpulan Sulu terhadap aset-aset negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendirian negara kekal, walaupun perlu berdepan dengan tuntutan mereka di negara-negara yang berbeza.
Katanya, kerajaan sentiasa bersedia untuk menghadapi kumpulan itu yang dijangka akan terus membuat tuntutan, meskipun dua usaha mereka sebelum ini di Sepanyol dan Perancis gagal.
“Pada masa sama kerajaan juga sedang berusaha memberi kesedaran kepada negara-negara Eropah lain (yang mempunyai aset negara) untuk mengatakan tuntutan ini tidak berasas.
“Tuntutan ini seolah-olah ingin mengugut negara kita dalam konteks ekonomi kerana mereka mungkin ada ‘funder’ yang melihat ada peluang untuk dapatkan keuntungan,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Saringan Kanser 2023 Peringkat Parlimen Petra Jaya, hari ini.
Semalam, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam kenyataannya menegaskan bahawa tuntutan oleh pihak berkenaan terhadap dua anak syarikatnya di Luxembourg (Luxcos) sebagai tidak berasas, dan akan terus mempertahankan kedudukannya di sisi undang-undang.
Ia susulan keputusan Mahkamah Luxembourg dua hari lalu yang mengeluarkan perintah sita baharu kepada dua anak syarikat Petronas berikutan tuntutan daripada waris kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion yang mereka peroleh terhadap aset kerajaan Malaysia. – Malaysiapost