Ulama main peranan penting, jadi rujukan kerajaan – TPM

Ulama main peranan penting, jadi rujukan kerajaan – TPM

ULAMA memainkan peranan penting dalam kerajaan sebagai rujukan sebelum sesuatu polisi dan dasar dilaksanakan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pandangan daripada golongan ulama mampu memastikan hala tuju yang ditentukan dalam polisi atau dasar kerajaan adalah berpandukan al-Quran dan Sunnah.

“Setiap polisi atau dasar yang akan dilaksanakan mesti dirujuk dengan ulama agar segala usaha yang kita lakukan adalah atas nasihat dan doa ulama…Insya-Allah matlamat untuk capai negara sejahtera akan tercapai,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Liqa’ Perdana Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah di kediaman rasmi Sri Satria, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, kombinasi jalinan kerjasama antara pemimpin dan ulama dapat memastikan setiap permasalahan yang dihadapi negara dapat diatasi berpandukan ajaran Islam.

Beliau berkata, teguran dan nasihat daripada golongan ulama adalah dialu-alukan bagi memastikan kepimpinan negara sentiasa mendapat keberkatan.

Menurutnya, majlis agama bersama ulama menjadi platform penting untuk membantu kerajaan mencambahkan pelbagai idea ke arah memartabatkan Islam.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menasihatkan para ulama agar tidak menyalah guna ayat al-Quran, Hadis, ijmak dan qias untuk mencapai matlamat politik sebaliknya memanfaatkan ilmu berkenaan untuk memperkukuh serta menjaga kesucian Islam.

“Sekiranya kita jaga perkara ini, ada niat yang baik untuk perkuatkan agama kita, insya-Allah, Allah pasti jaga kita. Jangan jadikan agama sebagai tunggangan,” katanya. – Malaysiapost

Komen