Wajibkan bayar elaun pelatih industri – Armada

Wajibkan bayar elaun pelatih industri – Armada

KERAJAAN digesa gubal undang-undang yang mewajibkan majikan membayar elaun kepada pelatih industri supaya generasi muda tidak menjadi buruh kasar di negara sendiri.

Exco Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berharap perbincangan antara kerajaan dengan pemegang taruh dapat dijalankan supaya kata putus dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Armada Bersatu berpendapat bahawa anak muda tidak boleh dijadikan buruh kasar di negara sendiri. Kita harus sedar bahawa pelajar internship juga perlu membiayai kos untuk hadir ke pejabat sama seperti pekerja lain.

“Syarikat swasta mengutip untung hasil daripada tenaga kerja termasuk pelajar internship. Syarikat juga telah menjimatkan satu amaun yang signifikan dengan mengambil pelajar internship untuk berkhidmat.

“Maka wajar untuk kerajaan mewajibkan satu elaun minimum diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menolak cadangan untuk mewajibkan pemberian elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, dilaporkan berkata kerajaan sebaliknya harus memberi pertimbangan untuk memberi lebih banyak insentif kepada majikan bagi mengambil lebih ramai pelatih dan kemudian boleh mewajibkan semua pelajar menjalani latihan amali berkenaan.

MEF berpendirian latihan amali adalah peluang untuk pelajar atau graduan baharu memperoleh pengalaman industri berharga yang akan membantu dalam memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

Mengulas lanjut, Harris berkata, industri di Malaysia harus bergerak mengikut peredaran zaman, maka sudah tiada ruang untuk syarikat memperoleh perkhidmatan percuma daripada manusia.

“Selari dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi negara maju, isu asas seperti menghormati tenaga keringat anak muda yang sedang menimba pengalaman bekerja harus diselesaikan dengan tuntas,” katanya. – Malaysiapost

Komen