Athira minta maaf, mengaku pentingkan diri ganggu rumah tangga Hafidz

Athira minta maaf, mengaku pentingkan diri ganggu rumah tangga Hafidz

ATHIRA Yuhada, orang ketiga yang didakwa punca pergolakan rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi, akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada isteri pelakon itu, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Selain kepada Nurul Shuhada, Athira turut meminta maaf kepada dua anak pasangan berkenaan iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3.

Athira menerusi hantaran di Instagram (IG) mengakui, dia hanyalah insan lemah selain menyifatkan tindakan dibuat tidak wajar dan mementingkan diri sendiri.

Dedahnya, Hafidz cuba menghubunginya sejak sembilan tahun lalu dan sepanjang tempoh itu juga dia sudah berkali-kali menjauhkan diri daripada pelakon tersebut.

Namun, katanya punca kembali berhubung dengan Hafidz disebabkan rasa simpati terhadap masalah kesihatan mental dialami pelakon itu dan ingin memberi sokongan terhadapnya.

“Saya Athira Yuhada. Saya ingin memohon maaf kepada Shuhada, Humairah dan Umar.

“Apa yang saya lakukan sangat mementingkan diri sendiri. Selepas Hafidz cuba menghubungi saya beberapa kali sejak sembilan tahun lalu, saya sedaya-upaya cuba mengelak.

“Namun, akhirnya perkara ini berlaku kerana mengetahui keadaan kesihatan mental yang membuatkan saya simpati dan ingin menyokong apa dilaluinya.

“Saya mengaku insan yang lemah dan bodoh kerana terjerumus dalam situasi ini,” tulisnya.

Menerusi hantaran sama, Athira menjelaskan dia sudah tidak berhubung dengan Hafidz dan menegaskan hubungan mereka sudah lama berakhir.

“Saya sudah lama tidak berhubung dengan Hafidz dan ia tak akan berlaku lagi.

“Saya dengan rendah diri sekali lagi memohon maaf kepada Shuhada, Humairah dan Umar,” tulis Athira.

Terdahulu, identiti Athira terbongkar menerusi satu hantaran dalam IG yang memaparkan tangkap layar berbalas mesej mesra bersama Hafidz di aplikasi WhatsApp.

Ia sekali gus menguatkan dakwaan rumah tangga dibina Hafidz bersama Nurul Shuhada selama hampir tujuh tahun kini bergolak.

Untuk rekod, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016. – Malaysiapost

Komen