Berarak dengan senjata, Pemuda PAS Terengganu sedia disiasat

Berarak dengan senjata, Pemuda PAS Terengganu sedia disiasat

MESKIPUN kelihatan tidak logik untuk disiasat, namun penganjur Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disiasat berhubung dakwaan perarakan bersenjata perhimpunan itu.

Ketua Pemuda PAS Terengganu Mohd Harun Esa, berkata pihaknya tiada masalah untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung perarakan bersama replika pedang, lembing dan perisai pada Jumaat lalu.

“Program Himpit menghimpunkan seluruh jentera pemuda PAS Terengganu diadakan sejak 1991 lagi dan menjadi acara tahunan.

“Sudah menjadi tradisi lapan Pemuda PAS kawasan membawa replika (pedang dan lembing) serta tema perarakan masing-masing.

“Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, Wisma Darul Iman bahkan ada yang berkuda pada penganjuran Himpit kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, gambar dan video perarakan peserta Himpit 2023 yang dikatakan membawa pedang, lembing, panah dan perisai tular di media sosial.

Orang ramai mempersoalkan tindakan mereka membawa senjata secara terbuka dalam perarakan itu yang dikaitkan dengan keganasan dan provokasi.

Mohd Harun berkata, tiada istilah keganasan dan provokasi, malah sangat menarik apabila melihat kreativiti daripada wakil kawasan mempamerkan idea masing-masing.

“Ada antara mereka yang memulakan persiapan hampir sebulan semata-mata untuk menyertai program kali ini.

“Anggota polis trafik juga ada bersama kami membantu mengawal lalu lintas ketika perarakan setiap kontinjen sedang berlangsung dengan aman,” katanya.

Himpit 2023 diadakan di Pantai Penarik, Terengganu pada dan dirasmikan oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lalu.

Antara aktiviti diadakan dalam perhimpunan selama dua hari itu adalah perlawanan bola sepak, sepak takraw, dan konvoi bermotosikal. – Malaysiapost

Komen