Jana Wibawa: Tengku Zafrul sedia beri keterangan
BEKAS Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sedia memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung dana projek itu.
“Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa.
“Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan itu.
Perdana Menteri kelapan itu berkata, keterangannya berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.
Beliau menjelaskan, projek tersebut dikendalikan Kementerian Kewangan (MOF) dan setiap kelulusan perlu dibuat menerusi kementerian tersebut, bukannya diputuskan oleh Pejabat Perdana Menteri.
“Jana Wibawa ini ialah satu projek yang diusahakan oleh MOF yang dicadangkan oleh Tengku Zafrul. Saya setuju kerana ketika Covid-19 antara yang paling teruk terkesan ialah kontraktor-kontraktor Bumiputera,” katanya. – Malaysiapost