Jangan terlibat perarakan beri gambaran tidak baik kepada Islam – Mohd Na’im
UMAT Islam dinasihatkan tidak terlibat dalam perarakan yang boleh menimbulkan salah faham dan ketidakharmonian masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perarakan yang dianjurkan pemuda sebuah parti baru-baru ini boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada Islam.
“Saya telah dimaklumkan tentang penganjuran sebuah program perhimpunan pemuda yang turut melibatkan perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam. Perarakan tersebut telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.
“Pada hemat saya, tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara.
“Adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Mohd Na’im berkata, keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara ini perlu dikekalkan dan menjadi tanggungjawab semua pihak.
“Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Apa-apa tindakan yang boleh mengundang kegelisahan awam perlulah dielakkan sama sekali.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpandangan perkara ini perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta apa-apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur telah menyalahi peraturan keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, Polis Terengganu mengakui mengetahui mengenai program yang dianjurkan Pemuda PAS negeri itu.
Bagaimanapun Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perarakan yang membawa replika senjata yang mana telah menimbulkan rasa tidak puas hatidan kegusaran di kalangan sesetengah masyarakat.
Hasil siasatan yang telah dijalankan, didapati ia berlaku pada 17 Februari 2023 di sebuah kawasan ‘resort’ di daerah Setiu, Terengganu.
“Perarakan tersebut adalah merupakan salah satu dari acara yang dipertandingkan pada program itu, iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.
“Ia telah disertai oleh setiap daerah di negeri Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Rohaimi berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan awal bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan dalam program tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya. -Malaysiapost