Lelaki diberkas bersama dadah bernilai RM2.16 juta

Lelaki diberkas bersama dadah bernilai RM2.16 juta

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam satu operasi bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor Deputi Komisioner M Kumar, berkata polis melakukan empat serbuan bermula jam 1.30 tengah hari di beberapa taman perumahan sekitar kawasan Kluang.

Menurutnya, dalam serbuan di rumah pertama polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama pelbagai jenis dadah.

“Dalam operasi ini polis berjaya merampas 35.74 kilogram (kg) serbuk dipercayai ecstasy bernilai RM1.787 juta; 2.5kg ketamin bernilai RM138,600; 3.24kg disyaki pil Eramin 5 bernilai RM162,000; dan 1.67kg ecstasy bernilai RM73,035.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.16 juta dan polis turut merampas empat kereta bernilai RM150,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, daripada empat kenderaan yang dirampas hanya satu sahaja didaftar atas nama suspek dan polis dalam proses mengenalpasti pemilik tiga lagi kenderaan lain.

“Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan rumah yang disewa sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedar kepada penagih.

“Kegiatan ini disyaki telah dijalankan sejak November tahun lalu dan polis sedang mengenal pasti suspek lain yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah ini,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman selama seminggu bermula 17 Februari hingga 23 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh bermula 1 Januari hingga 16 Februari lalu, JSJN Johor telah berjaya menangkap seramai 2,443 orang atas pelbagai kesalahan dadah

“Turut dirampas sebanyak 712.68 kg pelbagai jenis dadah yang bernilai RM8.15 juta serta harta sindiket dadah bernilai RM3.13 juta juga disita,” katanya. – Malaysiapost

Komen