Malaysia hantar bantuan ke Syria malam tadi
MISI bantuan kemanusian pertama Malaysia kepada mangsa tragedi gempa bumi di Syria berlepas pada malam tadi dengan pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata sebanyak 42 tan barangan bantuan dibawa menggunakan dua pesawat berkenaan.

“Insya-Allah, misi bantuan ini akan disampaikan dengan kadar yang segera kepada mangsa-mangsa di sana.
“Terima kasih diucapkan kepada semua yang berdaftar di bawah Malaysian Humanitarian NGOS kerana bersama-sama menjayakan misi bantuan ini. Semoga segala urusan yang dirancang akan dipermudahkan,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, memaklumkan misi bantuan kemanusiaan itu berlepas pada 10 malam tadi dari Pangkalan Udara TUDM Subang.

Menurut kenyataan itu barangan bantuan itu adalah hasil sumbangan ikhlas dan keprihatinan masyarakat Malaysia yang berjaya dikumpulkan sejak 15 Februari lalu.
“Barangan itu ialah makanan siap sedia dimakan, barangan keperluan bayi, bekalan ubat-ubatan, empat generator, pakaian dan selimut, kelengkapan perlindungan diri, khemah, karpet dan pemisah untuk ruangan dalam (indoor separators).
“Penebangan khas ke Syria ini membabitkan 51 kru dan wakil kementerian serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan mengambil masa selama 17 jam 30 minit dengan dua persinggahan teknikal sebelum dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik tengah hari 19 Februari 2023,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, ucapan penghargaan turut diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyahut seruan untuk menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa gempa bumi di Syria.
“Antara NGO yang turut menjayakan misi ini adalah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Mercy Malaysia, BeVital Ihsan Johor, RED A Humanitarian, Malaysia For Syria, Wisma Putra Global Peace Mission, Mahar, MCRD, Shine Catholic Church, Yemeni School Foundation dan Syrian People Malaysia,” katanya.
Misi bantuan kemanusiaan ini adalah susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Malaysia akan terus membantu Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi dahsyat pada 6 Februari lalu. – Malaysiapost