Menitis air mata melihat al-Quran dibuang dalam longkang

Menitis air mata melihat al-Quran dibuang dalam longkang

MENITIS air mata apabila mendapati beberapa naskah kitab suci al-Quran dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Taman Sri Murni, Gombak, berhampiran Pasar Borong Selayang.

Itu perasaan dirasakan seorang lelaki yang merakam video memaparkan beberapa naskah al-Quran itu dikeluarkan daripada longkang berkenaan dan video berdurasi seminit 39 saat itu tular di media sosial sejak malam tadi.

“Tengoklah nak akhir zaman..tak tahu apa cerita (sebenar). Al-Quran dibuang di dalam longkang. Tak tahu mana punya manusia.

“Anak aku tengah turun ambil al-Quran dalam longkang. Ini di lombong Sri Murni Pasar Borong Selayang,” kata lelaki yang merakam kejadian itu.

Menurutnya, kitab suci itu ditemui oleh seorang lelaki dan wanita yang memaklumkan perkara berkenaan sebelum anaknya turun ke dalam longkang untuk mengambil naskhah-naskhah al-Quran terbabit.

Menerusi video berkenaan, lelaki terbabit memberitahu kedua-dua individu yang menemui al-Quran itu turut membantu seorang lagi lelaki dilihat menyusun al-Quran yang dikeluarkan daripada longkang berkenaan.

Berdasarkan perkongsian itu dapat dilihat naskah-naskah al-Quran berkenaan yang kesemuanya basah dan ada yang sudah terkoyak kulit muka depannya.

Lelaki yang merakam video turut meluahkan rasa kesalnya terhadap individu yang tergamak melakukan perbuatan berkenaan.

“Astaghfirullah…Ya Allah ya tuhanku..sedih tak tahu bangsa apa, kalau bangsa Melayu (yang buang) minta biar dia kena bala.

“Tak nak baca pun simpanlah. Menitik air mata, Subhanallah… Subhanallah.. Subhanallah,” katanya. – Malaysiapost

Komen