Nurul Amal tanding Ketua Puteri Umno

Nurul Amal tanding Ketua Puteri Umno

NAIB Ketua Puteri Umno, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti kali ini.

Beliau merupakan calon terakhir menghantar borang pada hari ini untuk jawatan Ketua Puteri Umno yang menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Kerusi jawatan utama dalam sayap Umno paling muda itu antara paling hangat dalam Pemilihan Umno 2023 dengan beberapa nama sudah menghantar borang pencalonan.

Mereka adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Khaidirah Abu Zahar; Penolong Setiausaha Puteri Umno, Nurul Hazwani Haslan; Exco Puteri Umno, Fadhwa Anuar dan Ketua Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Dr Maslina Harun.

Menurut Nurul Amal, beliau mengambil keputusan untuk bertanding atas kehendak sendiri tanpa didorong oleh mana-mana pihak demi sayangkan parti itu.

“Kita meraikan demokrasi dan saya mengharapkan semua calon pun begitu. Apa yang penting kita mempertahankan Perlembagaan parti dan institusi Presiden kerana ia adalah paksi sesebuah parti itu,” katanya.

Jelasnya, setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing dan terserah kepada perwakilan untuk memilih siapa yang layak untuk menerajui pucuk pimpinan Puteri Umno.

Pemilihan Umno diadakan bermula 1 Februari lepas hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan ialah pada 1 hingga 26 Februari.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – Malaysiapost

Komen