PDRM banteras 23 kes perdagangan hidupan liar tahun lalu
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) berjaya menumpas dan membanteras pelbagai kegiatan perdagangan serta pemburuan hidupan liar sepanjang tahun lalu melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata sepanjang 2022 Wildlife Crime Bureau/Perisikan dan Siasatab Khas (WCB/PSK) merekodkan sejumlah 23 kes di seluruh Malaysia dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM2,687,370.

Menurutnya, antara hidupan liar dan haiwan dilindungi yang berjaya diselamatkan adalah burung murai batu, blue monkey, kucing batu, burung hill myna, burung helang, musang, iguana dan ayam hutan.
“Satu kes menarik telah direkodkan pada tahun lalu di mana WCB/PSK berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan seorang warga Vietnam di Kelantan yang menjadi ahli sindiket penyeludupan haiwan liar.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup haiwan liar melalui jalan laut dengan menggunakan sebuah kapal nelayan. Dalam operasi kes ini kapal berkenaan berjaya dirampas bersama 59 sangkar besi mengandungi musang dan satu sangkar burung ruak-ruak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 16 Februari lalu pula, sebanyak lapan serbuan dan operasi telah dilaksanakan yang berjaya menahan 11 suspek membabitkan 10 warga tempatan dan seorang warga asing dengan jumlah rampasan bernilai RM4,969,450.
Menurutnya, kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Daripada lapan serbuan itu, satu operasi mendapat penghargaan daripada Global Tiger Forum (GTF) iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan bagi melindungi habitat asal harimau.
“Dalam operasi itu WCB/PSK berjaya menangkap seorang lelaki tempatan di Selangor dan merampas 69 terbitan (produk) hidupan liar dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM1.2 juta,” katanya.
Noorsiah berkata, WCB/PSK akan terus komited dalam membanteras sindiket perdagangan hidupan liar dan akan meneruskan kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjaga biodiversiti negara dan kelestarian alam.

“Operasi yang dijalankan juga turut menyasarkan sindiket membabitkan pelombong haram, pembalakan haram, marin biologi dan ekologi yang memusnahkan flora dan fauna.
“PDRM menyambut baik kerjasama dijalankan di bawah OBK ini dan sentiasa menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan khazanah negara terpelihara untuk generasi akan datang.
“Penglibatan dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis juga amatlah digalakkan agar jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Malaysiapost