Pelihara kemuliaan, panduan pelupusan al Quran diperluas
UMAT Islam yang ingin melupuskan naskah al Quran dinasihatkan merujuk garis panduan dan kaedahnya dengan pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memelihara kemuliaan naskhah al-Quran pada setiap masa.
Jelasnya, Jabatan Perdana Menteri akan mempertingkatkan penerangan kepada umat Islam bagaimana kaedah pelupusan al Quran yang betul.
“Ia perlu diurus dengan penuh cermat dan tertib untuk menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus mempertingkatkan program-program penerangan dan pendidikan berkaitan kaedah pelupusan al-Quran kepada masyarakat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Na’im berkata,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengambil tindakan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan di bawah bidang kuasa masing-masing susulan video pembuangan al-Quran yang dipercayai berlaku di salah satu lokasi sekitar Kuala Lumpur sebagaimana ditularkan.
Katanya, siasatan lanjut telah dilakukan oleh pihak PDRM yang akan dimaklumkan kepada JAWI.
“Saya berasa amat dukacita dengan kejadian tersebut. Tindakan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja melakukan perbuatan terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Na’im berkara, pihaknya merakamkan penghargaan serta memuji keprihatinan tinggi pihak berkuasa serta ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid setempat dan orang ramai yang bekerjasama menangani isu ini dengan penuh bersungguh-sungguh dan berhemah sebagai tanda menghormati kemuliaan al-Quran. -Malaysiapost