Perlu undi pindaan taraf kerakyatan anak lahir di luar negara – Agus

Perlu undi pindaan taraf kerakyatan anak lahir di luar negara – Agus

WALAUPUN cadangan pindaan Perlembagaan mengenai taraf kerakyatan anak yang lahir di luar negara dipersetujui Kabinet, namun pindaan itu perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berharap semua Ahli Parlimen menyokong pindaan itu.

“Tahniah dan syabas kepada Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, dan Menteri Dalam Negeri yang bekerja kuat untuk Kabinet bersetuju dengan pindaan ini. Ini adalah kerja yang bagus.

“Walaupun cadangan pindaan ini dipersetujui Kabinet, pindaan ini perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli dewan. Semoganya Ahli Parlimen menyokong pindaan ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Mohammad Agus gembira dengan tindakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang bersetuju dengan pindaan membabitkan isu yang telah lama berlaku itu, sekaligus memenuhi janji pilihan raya berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata, isu ibu warganegara Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak mereka yang lahir di luar negara sudah lama berlaku, kerana taraf kerakyatan anak mereka ditentukan oleh kerakyatan bapa.

“Saya gembira apabila kelmarin Kabinet bersetuju untuk meminda Perlembagaan bagi menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

“Perkataan itu digantikan dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak untuk menentukan kewarganegaraan anaknya,” katanya.

Beliau berkata, dengan pindaan itu kelak anak-anak yang berkenaan akan dapat menikmati kemudahan kerajaan seperti kesihatan dan persekolahan.

“Ini membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin kompeten yang berjiwa besar untuk melakukan sesuatu yang tidak sanggup dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Ia adalah satu lagi kejayaan terbesar Kerajaan Perpaduan setelah menyelesaikan masalah Perjanjian Malaysia 1963 dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, pindaan itu juga akan memenuhi hak terhadap kanak-kanak, menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita dan mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan sebelum ini.

Katanya, ia juga menyelesaikan kes-kes tertunggak bagi wanita yang menunggu masa terlalu lama untuk mendapat kelulusan kewarganegaraan anak mereka.

“Saya gembira kerana akhirnya muncul a ‘human government’ yang memanusiawikan manusia, dan mengangkat kemanusiaan,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat menyelesaikan satu demi satu masalah termasuk masalah individu tanpa kewarganegaraan pula selepas ini.

“Setelah melihat usaha Kerajaan Perpaduan ini, saya yakin banyak lagi reformasi positif yang akan dilakukan oleh kerajaan ini. Syabas, Malaysia Madani,” katanya. – Malaysiapost

Komen