Reezal Merican kekal Ketua Umno Cawangan Bertam

Reezal Merican kekal Ketua Umno Cawangan Bertam

DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican mengekalkan kerusinya sebagai Ketua Umno Cawangan Bertam bagi penggal 2023/2026.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, memaklumkan cawangannya itu telah menyempurnakan Persidangan/Pemilihan Cawangan Umno semalam dalam suasana harmoni dan kekeluargaan.

“Terima kasih atas kepercayaan ahli-ahli Cawangan Bertam yang sebulat suara mengekalkan saya sebagai Ketua Cawangan untuk penggal kali ini.

“Tahniah saya ucapkan kepada jawatankuasa baru yang dipilih. Semoga kita diberi kekuatan, semangat dan konsisten dalam perjuangan UMNO demi memartabatkan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Reezal Merican yang juga bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, berjanji akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sehabis baik demi mengembalikan kegemilangan Umno di bumi Kepala Batas.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November 2022, Reezal Merican yang ketika itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tumpas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Dr Siti Mastura Muhammad dengan majoriti 2,867 undi.

Kekalahan itu menyaksikan Penguasaan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kepala Batas sejak 1974 berakhir, bahkan lebih buruk BN Pulau Pinang kehilangan kesemua kerusi menjadi kubu kuat Umno di negeri berkenaan. – Malaysiapost

Komen