SPRM, AGC terus membisu kes Hakim Nazlan – Puad

SPRM, AGC terus membisu kes Hakim Nazlan – Puad

UMNO sekali lagi menggesa kerajaan supaya mengesahkan atau menafikan keabsahan kertas siasatan kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang tular sejak tahun lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kesal kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) terus membisu berhubung isu itu.

Katanya, Umno sebelum ini pernah menggesa SPRM mengesahkan atau menafikan keabsahan dokumen siasatan kes membabitkan Hakim Mohd Nazlan yang tular di media sosial.

“Sudah tujuh bulan gesaan dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Tetapi SPRM senyap. Pejabat Peguam Negara pun senyap. Diharap kerajaan tampil beri penjelasan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menurut Mohd Puad, dokumen itu dipercayai kertas siasatan (kes Hakim Nazlan) yang mendakwa berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan.

Pada Mei tahun lalu, SPRM mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Mohd Nazlan sudah diserahkan kepada pihak AGC untuk tindakan lanjut.

SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.

Mohd Nazlan ketika menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, pada 28 Julai 2020.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Perdana Menteri Malaysia keenam itu. – Malaysiapost

Komen