Sultan Johor titikberat kualiti perkhidmatan perubatan di Johor

Sultan Johor titikberat kualiti perkhidmatan perubatan di Johor

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitikberatkan mengenai kualiti perkhidmatan perubatan, kemudahan serta kebersihan hospital kerajaan di Johor.

Perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima mengadap Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, antara intipati lain yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah mengenai penambahbaikan perkhidmatan perubatan di Johor.

“Pada pertemuan bersama Menteri Kesihatan itu, Baginda Tuanku Sultan menitikberatkan kualiti perkhidmatan perubatan, kemudahan serta kebersihan di hospital kerajaan di Johor.

“Selain itu, antara intipati lain yang dibincangkan adalah mengenai penambahbaikan perkhidmatan perubatan di Johor dengan cadangan pembinaan sebuah hospital baharu berkapasiti 1,500 katil secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).” menurut hantaran itu.

Berangkat sama dalam pertemuan, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah, manakala Menteri Kesihatan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Berangkat sama dalam pertemuan, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah, manakala Menteri Kesihatan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang di Johor adalah wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan dalam Kabinet kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Dr Zaliha menjunjung kasih atas perkenan Baginda berdua menerimanya mengadap hari ini.

“Menjunjung titah Duli Tuanku yang amat menitikberatkan kualiti perkhidmatan perubatan, kemudahan serta kebersihan hospital kerajaan di Johor.

“Tuanku turut bertitah mengenai penambahbaikan perkhidmatan perubatan di Johor dengan cadangan pembinaan sebuah hospital baharu berkapasiti 1,500 katil secara PFI,” katanya di Facebook.

Terdahulu beliau merasmikan Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, hari ini sebagai usaha transformasi sistem kesihatan negara daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan. – Malaysiapost

Komen