Tun M bantu Kedah selesai isu Bukit Malut
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setuju bekerjasama dengan Kerajaan Kedah untuk menyelesaikan isu penempatan haram Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut, Langkawi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, isu yang berlarutan sejak sekian lama itu memerlukan penglibatan Dr Mahathir terutama dalam aspek sejarah.
Justeru, beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu segera memainkan peranan mereka dalam memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Dalam pertemuan baru-baru ini, saya minta sokongan Tun mengenai cadangan untuk MKN ambil alih sebahagian tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Malut untuk penempatan baharu bagi penduduk di penempatan haram itu.
“Beliau (Dr Mahathir) setuju dan akan beri kerjasama,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran ‘Kedah Cashless, hari ini.
Menurutnya, Dr Mahathir ada berpesan supaya rumah yang hendak dibina mestilah dijual pada harga berpatutan bagi memastikan mereka mampu membelinya.
“Disebabkan itu projek MKN, tidak sepatutnya kerajaan negeri keluarkan duit untuk bina penempatan baharu.
“MKN perlu mainkan peranan dengan pengambilan tanah, minta pemaju buat rumah. Jadi, MIK boleh beli dengan kadar berpatutan kerana tanah itu sudah jadi milik MKN,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana yang turut dimuat naik dalam Facebooknya baru-baru ini, Muhammad Sanusi menjelaskan mereka banyak berbincang mengenai Kedah, bukannya hal politik.
“Memang dalam Facebook saya kata ada berita baik, minta mereka tunggu apa beritanya tetapi saya bukan maksudkan tentang politik,” katanya.
Ditanya sama ada Dr Mahathir akan menjalin kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, katanya isu berkenaan tidak dibincangkan dalam pertemuan itu. – Malaysiapost