Umno tentukan nasib Armand 23 Februari ini

Umno tentukan nasib Armand 23 Februari ini

LEMBAGA disiplin Umno akan memanggil Datuk Armand Azha Abu Hanifah pada 23 Februari ini.

Menurut sumber dalaman Umno, Ketua Umno Bahagian Subang itu akan diminta menjelaskan beberapa tindakannya yang telah melanggar disiplin parti sebelum ini.

Katanya, sebarang keputusan menggantung keahlian atau memecat Armand akan meragut peluangnya bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti itu, Mac ini.

“Armand akan dipanggil Lembaga Disiplin Umno 23 Februari ini kerana beberapa pelanggaran disiplin parti terutamanya yang melibatkan tataetika sebagai calon bertanding untuk pemilihan Umno.

“Gantung atau pecat akan menyebabkan dia hilang peluang bertanding dalam sebarang jawatan dalam Umno,” kata sumber itu.

Bagaimanapun sumber tersebut tidak memperincikan kesalahan yang telah dilakukan Armand sehingga menyebabkan beliau dipanggil lembaga disiplin Umno.

Ketika Perhimpunan Umno (PAU) 2022, Armand dilihat sebagai geng Khairy Jamaluddin yang tidak sehaluan dengan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Khairy telah dipecat Umno pada 29 Januari lalu berikutan tindak tanduknya yang menyerang parti ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. -Malaysiapost

Komen