Usah rahsiakan terma penyelesaian kes Apandi – Kit Siang
VETERAN DAP, Lim Kit Siang menggesa supaya terma penyelesaian kes saman, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan tidak dikelaskan sebgai Akta Rahsia Rasmi 1972.
Beliau menegaskan keputusan merahsiakan penyelesaian berhubung pemecatan Mohamad Apandi sebagai Peguam Negara itu jelas bertentangan dengan kepentingan awam.
Malah, Kit Siang turut bersetuju dengan Dr Mahathir yang keliru dengan keputusan kerajaan untuk tidak mendedahkan butiran penyelesaian terbabit.
“Kepentingan awam memerlukan penyelesaian di luar mahkamah didedahkan kepada umum. Kabinet harus membalikkan keputusan tersebut kerana kerajaan bertindak bagi pihak orang ramai.
“Jika Mohamed Apandi mahu memulakan tindakan undang-undang hasil daripada penerbitan penyelesaian di luar mahkamah, beliau sepatutnya bebas berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan merahsiakan terma dan syarat berhubung penyelesaian saman yang dikemukakan terhadapnya oleh Mohamed Apandi.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau bingung dengan keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman.
“Saya keliru dengan keputusan Azalina untuk merahsiakan penyelesaian tuntutan Apandi berhubung pampasan bagi pemecatan beliau,” katanya.
Pada Rabu lalu, Azalina menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjelaskan Mohamed Apandi dan Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk tidak mendedahkan syarat penyelesaian itu.
Katanya, keputusan itu diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Pada 13 Oktober 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Beliau memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu pada 2018 sebagai tidak sah.
Mohamed Apandi yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – Malaysiapost