Zambry ke Arab Saudi perkukuh hubungan 2 hala
MENTERI Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula hari ini hingga 23 Februari 2023 bagi mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan Arab Saudi adalah negara Asia Barat pertama yang dilawati Zambry sejak dilantik sebagai menteri pada 2 Disember lalu.
“Lawatan ini menggambarkan hubungan istimewa yang wujud antara kedua-dua negara selama ini, serta komitmen Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Menteri akan diiringi para pegawai kanan kerajaan dari Wisma Putra semasa lawatan ini,” menurut kenyataan itu.
Zambry dijadualkan untuk bertemu rakan sejawatnya, Putera Faisal bin Farhan bagi menyusuli perbincangan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala kedua-dua negara.
“Ini termasuk penganjuran Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC) selain menerokai kerjasama dalam bidang-bidang baharu.
“Menteri juga akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid A Al Falih untuk menerokai potensi kerjasama ekonomi baharu antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Turut dijadualkan adalah pertemuan bersama Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh bagi menyusuli perbincangan berkenaan Sidang Kemuncak Asean-GCC yang akan dianjurkan tahun ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut dijadual mengadakan pertemuan berasingan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hussein Brahim Taha di Jeddah dan Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia, Sheikh Dr Mohammed Al-Issa di Riyadh.
“Semasa lawatan ini, menteri juga akan mengadakan sesi pertemuan bersama ahli-ahli perniagaan di Riyadh dan Jeddah, yang dijangka akan menjadi platform bagi ahli-ahli perniagaan Malaysia untuk meneroka perniagaan dan pelaburan baharu khususnya di Arab Saudi,” katanya.
Arab Saudi kekal sebagai rakan dagang Malaysia terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan dua hala pada tahun lalu mencecah RM45.52 bilion, peningkatan 159.2 peratus berbanding RM17.56 bilion tahun 2021. – Malqysiapost