5 lagi mangsa penipuan tawaran kerja luar negara diselamatkan

5 lagi mangsa penipuan tawaran kerja luar negara diselamatkan

SERAMAI lima lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, memaklumkan kesemua mangsa berkenaan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Thailand, semalam.

Menurutnya, mangsa berkenaan berjaya melarikan diri ke Thailand dan diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum melalui proses deportasi dan dihantar pulang ke Malaysia.

“Kepulangan mangsa berusia 19 hingga 26 tahun diiringi oleh pegawai daripada KLN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengadakan lawatan kerja ke Thailand dari 16 hingga 19 Februari 2023,” menurut kenyataan itu.

KLN turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand atas kerjasama baik diberikan dalam usaha mengesan serta menyelamat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan itu.

Menurut KLN, kerajaan Thailand juga membantu mempercepatkan proses penghantaran pulang mangsa ke Malaysia.

Sementara itu, sehingga kini KLN telah membawa pulang seramai 382 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan di Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

“KLN ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan terutamanya yang diterima melalui media sosial, aplikasi mudah alih atau secara dalam talian.

“KLN memandang serius permasalahan ini dan menggesa orang ramai melaporkan kepada PDRM dan KLN sekiranya ada ahli keluarga disyaki menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen