8 calon SPM Pahang duduki peperiksaan di hospital
SERAMAI lapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang terpaksa mengambil peperiksaan berkenaan di hospital.
Mereka adalah antara 20,850 calon yang menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini di seluruh Pahang.
Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, lapan calon berkenaan menjalani peperiksaan di hospital selepas terbabit kemalangan pada hari ini dan minggu lalu.
“Mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital (HOSHAH), Temerloh dan Hospital Lipis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, dekat sini, pagi tadi.
Mohammad Rosli berkata, terdapat 620 pelajar Orang Asli yang berdaftar turut menduduki peperiksaan SPM peperiksaan di 263 pusat peperiksaan di seluruh Pahang.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 1,465 calon daripada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), 773 (Maktab Rendah Sains Mara), 725 (calon persendirian), 224 (sekolah swasta) dan 90 (Sekolah Agama Rakyat).
“Selebihnya adalah calon sekolah menengah kerajaan dan 116 calon berkeperluan khas turut menduduki peperiksaan SPM bermula hari ini sehingga 15 Mac depan,” katanya. – Malaysiapost