Belum ada pemimpin tawar diri tanding Naib Presiden Umno

Belum ada pemimpin tawar diri tanding Naib Presiden Umno

TEMPOH akhir pencalonan hanya berbaki kurang seminggu, namun sehingga petang tadi belum ada mana-mana pemimpin menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden Umno.

Tiga jawatan tersebut ketika ini disandang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), Tan Sri Shahrir Samad, berkata pihaknya bagaimanapun telah menerima 24 pencalonan untuk jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), menjelang hari terakhir pencalonan pada Ahad ini.

Setakat semalam, katanya, 111 calon telah mendaftar untuk pertandingan di peringkat MKT, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Bagi Ketua Wanita sudah ada seorang calon, Ketua Pemuda seorang, manakala Ketua Puteri UMNO enam calon menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan itu.

“Seorang calon mendaftar bagi Naib Ketua Wanita Umno, dua calon Naib Ketua Pemuda dan tiga calon bagi Puteri.

“Exco 22 calon (Wanita), 25 (Pemuda) dan 15 (Puteri) orang yang sudah mendaftar,” katanya memetik laporan  portal Umno Online.

Shahrir berkata pihaknya menjangka lebih ramai calon akan mendaftar, termasuk bagi bagi jawatan Naib Presiden Umno sepanjang minggu terakhir ini. – Malaysiapost

Komen