Bung Moktar, Zizie diperintah bela diri mulai 15 Jun

Bung Moktar, Zizie diperintah bela diri mulai 15 Jun

DATUK Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Jun ini berhubung pertuduhan rasuah pelaburan RM150 juta wang Felcra.

Meskipun Ahli Parlimen Kinabatangan dan isteri masih menunggu pendengaran kes tersebut di Mahkamah Rayuan, namun Mahkamah Sesyen telah memutuskan untuk menetapkan tarikh-tarikh prosiding pembelaan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob berkata, beliau tidak mahu mengambil masa begitu lama untuk berterusan menangguhkan kes tersebut.

“Ini kes tahun 2019. Kita tidak mahu kes ini terus terabai, jadi saya terpaksa sekat dulu tarikh-tarikh perbicaraan bagi memastikan jadual mahkamah penuh,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.

Pada sebutan kes hari ini, Rozina turut menetapkan 13 hari untuk prosiding bela diri bermula 15, 16, 26, 27 Jun, 10 hingga 14 Julai, 20, 21, 24 dan 25 Julai.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Bung dan Zizie membela diri.

Sementara itu, peguam yang mewakili Bung Moktar, M Athimulan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya masih menunggu tarikh pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah Rayuan masih menunggu rekod rayuan termasuk penghakiman bertulis dan nota keterangan daripada Mahkamah Tinggi,” katanya.

Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Mokhtar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Beliau turut mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Manakala Zizie juga mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – Malaysiapost

Komen