Cuepacs minta gaji penjawat awam dinaikkan

Cuepacs minta gaji penjawat awam dinaikkan

KONGRES Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon pertimbangan kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, kenaikan gaji penjawat awam dapat menyelesaikan masalah peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara ketika ini.

“Cuepacs berpendapat kunci utama untuk negara keluar daripada belenggu kos sara hidup ini ialah dengan kaedah meningkatkan kadar gaji serta upah pekerja.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik mendadak terutama melibatkan keperluan asas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sistem saraan perkhidmatan awam yang digunapakai ketika ini sudah lama tidak dikaji dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Cuepacs mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu dengan model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.

“Rakyat ingin melihat satu perubahan yang benar-benar serius ke atas kaedah menangani kos sara hidup pada ketika ini.

“Kunci kepada negara untuk keluar daripada kancah kos sara hidup ini ialah dengan kaedah meningkatkan gaji dan upah pekerja,” katanya.

Adnan berkata, adalah wajar untuk kerajaan memberi keutamaan menaikkan gaji penjawat awam melalui belanjawan yang akan dibentangkan, disamping melaksanakan langkah-langkah mengawal kenaikan kos sara hidup.

“Kenaikan gaji tahunan pula perlu ditetapkan pada kadar minimum RM180 setahun untuk mengimbangi kos sara hidup,” katanya.

Beliau turut berharat Bajet 2023 akan memberi berita gembira kepada penjawat awam berkenaan isu pemilikan rumah.

“Cuepacs memberi keyakinan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat dan menyelesaikan permasalahan penjawat awam dalam isu pemilikan kediaman mampu milik.

“Sejak 2018 semua pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam telah dihentikan oleh kerajaan pada ketika itu.

“Langkah ini dilihat menyukarkan penjawat awam untuk membeli kediaman sendiri dan terpaksa terus menghuni kuarters kerajaan atau menyewa seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost

Komen