HIMPIT 2023: PH Terengganu buat laporan polis

HIMPIT 2023: PH Terengganu buat laporan polis

PAKATAN Harapan (PH) Terengganu membuat laporan polis berkenaan perarakan ekstrem PAS baru-baru ini.

Laporan dibuat Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmaddi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin dalam laporannya mendakwa perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023), Jumaat lalu yang menggunakan alat berbentuk senjata di khalayak umum telah menimbulkan kegusaran awam.

“PAS kini lebih berani dan lebih bebas bermaharajalela menunjuk sikap ekstrem mereka berarak di jalanan dengan alat berbentuk ‘senjata’ dan lengkap berpakaian perang menimbulkan kegerunan rakyat jelata di negeri (Terengganu) Darul Iman.

“Bukan sahaja mereka berarak
tetapi menggunakan alat berbentuk ‘pedang’ dan ‘lembing’ yang menimbulkan kebimbangan orang awam.

“Apakah niat dan hajat penunjukkan persediaan untuk berperang ini di khalayak ramai?

“Bukankah Majlis Raja Raja Melayu baru-baru ini telah bertitah meminta kestabilan negara dipelihara, tetapi ini perbuatan berniat sebaliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin turut berkata, acara secara amat terbuka dan agresif menunjuk ‘senjata’ telah menimbulkan intimidasi dan kerisauan orang ramai selain mendapat restu pimpinan utama PAS.

“Keterlibatan presiden dan ketua Pemuda PAS nasional menunjukkan restunya pihak teratas parti dan ini mesti disiasat.

“PH Terengganu menuntut pihak keselamatan negara khususnys PDRM memandang serius isu ini demi ketentraman dan keharmonian negara dan menjalankan
sisatan.

“Tiada pihak berada di atas undang-undang negara. Kami mendesak pihak kerajaan dan pihak keselamatan negara bertindak segera sebelum terlambat,” katanya. – Malaysiapost

Komen