Isu projek LCS, kereta elektrik antara tumpuan Parlimen hari ini
ISU projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang gagal disiapkan dan dasar penggunaan kenderaan elektrik (EV) antara yang dijangka menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) meminta Menteri Pertahanan menyatakan langkah-langkah ke hadapan kementerian dalam menangani isu melibatkan LCS yang semakin meruncing.
Turut tersenarai, soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai dasar kerajaan bagi menggalakkan penggunaan EV serta penambahan stesen pengecasan untuk EV di seluruh negara.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) pula meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan sejauh mana Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bertindak sebagai pengawal kepada kebebasan media terutama media elektronik.
Selain itu, beliau dijangka bertanya jika kerajaan berhasrat mengkaji semula akta berkaitan kebebasan media bagi menangani masalah pemberita tidak beretika seperti meletakkan tajuk artikel yang bercanggah dengan kandungannya.
Selesai sesi soal jawab, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 29 hari bermula dari 13 Februari hingga 30 Mac. – Malaysiapost