Jangan buat spekulasi kes al-Quran dibuang dalam longkang
KESEMUA naskah al-Quran yang dipercayai dibuang ke dalam longkang di Tasik Sri Murni Jinjang, Kuala Lumpur seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin, sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beg Eng Lain, berkata secara keseluruhan sebanyak 13 naskah al-Quran dijumpai dalam longkang berkenaan dan dipercayai dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum ditemui pada Sabtu lalu.

Menurutnya, polis menerima aduan mengenai penemuan itu pada jam 11.32 pagi semalam daripada seorang wanita tempatan berusia 52 tahun yang juga ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan.
“Wanita berkenaan terjumpa naskah kitab suci al-Quran di dalam sebuah longkang di Tasik Sri Murni Jinjang. Kejadian itu dilaporkan pada Sabtu kira-kira jam 6.30 petang.

“Satu video mengenai penemuan berkenaan juga tukar di platform media sosial TikTok,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati wanita berkenaan sedang beriadah bersama suaminya dan ternampak satu beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik.
“Hasil pemerhatiannya mendapati senaskah al-Quran dalam keadaan terbuka dan terkeluar dari beg tersebut. Kemudian wanita itu meminta bantuan dari seorang lelaki yang berada berhampiran dan tidak dikenalinya untuk membawa naik beg itu.
“Kesemua naskah al-Quran itu kemudian dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas Kampung Selayang Lama untuk disimpan,” katanya.
Eng Lain berkata, polis juga membuat semakan di aplikasi TikTok dan mengesahkan terdapat satu hantaran yang berkaitan dengan aduan yang dilaporkan oleh wanita terbabit.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan yang boleh mendatangkan kebimbangan serta menjejaskan ketenteraman awam terutama kepada masyarakat umum. – Malaysiapost