KDN ingatkan PAS, jangan cetus kegusaran awam

KDN ingatkan PAS, jangan cetus kegusaran awam

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan sebarang perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru hara kepada rakyat dan negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.

“Malaysia sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ia sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara.

“Segala pendapat atau pandangan mestilah diuruskan dengan cermat dan disalurkan melalui ruang demokrasi yang ada, bukan melalui tindakan bersifat provokatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai perarakan ala Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023), Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mencetus kegusaran awam dan meningkatkan suhu politik di beberapa negeri yang berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Saya memandang serius berhubung satu acara melibatkan perarakan replika bersenjata tajam yang berlangsung dalam suatu himpunan anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu pada 17 Februari lalu.

“Perarakan replika bersenjata yang tular di media sosial ini telah menimbulkan suatu kegusaran awam kepada masyarakat apatah lagi suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri dilihat semakin memuncak,” katanya.

Saifuddin menambah, umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (race, religion & royalty) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan.

“Maka sudah tentu apa jua tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ‘military’ amatlah tidak wajar dan tentunya akan mengundang keresahan awam.

“Insiden ini kemudian disiar dalam bentuk ‘video clip’ dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan. Ini mengundang pertanyaan adakah perarakan ini bermaksud menyuntik semangat perang?” katanya.

Justeru, Saifuddin mengajak rakyat untuk bersama-sama menyahut seruan Malaysia Madani cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antaranya mempromosi elemen kesejahteraan, hormat dan ihsan dalam kalangan rakyat.

“Marilah kita menghargai dan memaknai perpaduan Malaysia ini dengan sepenuhnya,” katanya. – Malaysiapost

Komen