Kehadiran peguam Najib sekadar ‘hiasan’ – Muhammad Shafee

Kehadiran peguam Najib sekadar ‘hiasan’ – Muhammad Shafee

PEGUAM, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, yang dijalankan dalam keadaan terpaksa menyebabkan bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat perbicaraan adil.

Menurutnya, ia berikutan peguam terdahulu, Datuk Hisyam Teh Poh tidak dibenarkan menarik diri, menjadikan beliau sekadar ‘hiasan’ dalam prosiding itu.

Beliau berkata, Najib sebenarnya tidak diwakili peguam ketika itu dalam usaha terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC.

Muhammad Shafee berkata, Najib bukan sahaja tidak dibenar mendapat penangguhan, malah Hisyam terpaksa kekal di mahkamah dan mewakili Najib walaupun selepas dua kali memohon untuk menarik diri.

“Saya bukan bermaksud untuk tidak menghormati Tuan Haji Hisham, tetapi ketika rayuan akhir itu, beliau menjadi peguam yang tidak efektif kerana tidak bersedia .. ini sediri diakui sendiri olehnya.

“Malah perkara itu sudah dinyatakan olehnya pada 16 Ogos ketika hari pertama pendengaran bahawa jika penangguhan tidak dibenarkan beliau akan menarik diri … kemudian pada 18 Ogos penangguhan tidak dibenarkan jadi beliau mohon untuk menarik diri.

“Beliau bagaimanapun tidak dibenarkan menarik diri ketika itu… dan Najib pula tidak boleh untuk melantik peguam (lain). Ketika prosiding beliau (Hisyam) hanya ‘hiasan’’, sekadar ilusi dan tidak mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Pada hari kedua rayuan akhir terbabit, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri selepas mendapati peguam itu gagal memberikan alasan mencukupi.

Tengku Maimun dalam keputusannya, berkata mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan peguam untuk menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam keadaan di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.

Hisyam sebelum itu memohon menarik diri daripada mewakili Najib jika penangguhan prosiding tidak dibenarkan dan merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan penangguhan adalah satu kesilapan sangat besar yang membolehkan semakan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap Najib.

Katanya, apa yang berlaku pada prosiding berkenaan adalah bertentangan dengan asas perbicaraan yang adil dan tindakan yang diambil panel pada ketika itu adalah sesuatu yang tidak wajar.

Beliau tidak dinafikan peguam sering meminta penangguhan dan mahkamah mungkin tidak berpuas hati , tetapi untuk meneruskan kes dalam keadaan peguam tidak bersedia atau menarik diri bukanlah cara yang terbaik untuk menanganinya.

“Ada beberapa tindakan yang boleh diambil jika tiada peguam atau peguam tidak bersedia kerana sudah tentu anak guam tidak boleh berhujah sendiri.

“Antaranya ialah Mahkamah Persekutuan boleh membatalkan rayuan dengan kebebasan untuk memfailkan semula (rayuan berkenaan). Kenapa perlu hukum anak guam saya?,” katanya. – Malaysiapost

Komen