Liga Muslim iktiraf peranan Malaysia promosi kepelbagaian kaum, agama

Liga Muslim iktiraf peranan Malaysia promosi kepelbagaian kaum, agama

LIGA Muslim Sedunia (Rabitah al-Alam al-Islami) mengiktiraf peranan Malaysia sebagai contoh terbaik di dunia dalam mempromosi budaya hidup damai dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata ia dinyatakan Setiausaha Agungnya, Sheikh Dr Mohammed Al-Issa sempena lawatan kerja beliau ke Arab Saudi.

Pada pertemuan ini, katanya, mereka bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa melibatkan umat Islam di seluruh dunia, terutama berkaitan kebangkitan sentimen anti-Islam di sesetengah tempat sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, Dr Issa juga menganggap Malaysia sebagai negara contoh dalam mewujudkan persefahaman antara peradaban.

“Kami senada bahawa isu Islamofobia harus diatasi secara bersama menggunakan pendekatan secara dialog, komunikasi yang baik serta prinsip hidup kebersamaan.

“Langkah-langkah yang lebih bijaksana dan berhikmah akan dilakukan melalui persidangan dan dialog secara berterusan.

“Pendekatan Islam yang moderat, saling menghormati dan ta’ayush (co-existence) akan diusahakan untuk berhadapan dengan gerakan Islamofobia ini,” katanya.

Menurut Zambry, kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi membetulkan fahaman ekstremisme dan keganasan yang banyak merosakkan imej Islam dan menghancurkan negara-negara Islam melalui usaha bersama untuk mempromosi Islam yang sederhana,
toleran dan damai. – Malaysiapost

Komen