Nafi guna Tiktoker, rakaman suara sudah lama dibuat – Fadhlina

Nafi guna Tiktoker, rakaman suara sudah lama dibuat – Fadhlina

DAKWAAN menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara bagi Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 tidak harus timbul kerana rakaman suara sudah lama dilakukan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun pihaknya mengambil maklum semua aduan mengenai pelontar audio yang digunakan dalam ujian tersebut.

“Saya nak buat penegasan semula bahawa proses ujian itu dengan merakam atau merekod telah pun dilaksanakan lebih awal. Jadi, tidak timbul isu pempengaruh TikTok tersebut.

“Integriti ini menjadi isu penting sebab itu di peringkat Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kita pastikan isu integriti ini berjalan dengan mengambil kira semua aspek. Keabsahan, kesahihan dan kredibiliti suara yang dirakam itu,” katanya.

Beliau ditemui media selepas meninjau hari pertama peperiksaan SPM di SMK Jalan Empat di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Lembaga Peperiksaan (LP) dalam kenyataan semalam turut menafikan dakwaan menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara bagi UMBI SPM 2022.

LP memaklumkan pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 adalah dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti serta mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris.

Tular di media sosial apabila netizen mempersoal kredibiliti pelontar audio yang didakwa merupakan pempengaruh TikTok manakala calon peperiksaan pula berdepan masalah ketika ujian kerana pertuturan individu terbabit tidak jelas dan laju.

Dalam pada itu, Fadhlina berjanji akan menambah baik dari semasa ke semasa berkenaan isu pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022.

“Saya ambil maklum semua aduan terbabit. Kita akan tambah baik dari semasa ke semasa. Sebab ini sudah berlaku lama proses merekod ini sebelum (dibangkitkan) Tiktoker ini lagi,” katanya. – Malaysiapost

Komen