Operasi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dijangka berakhir malam ini
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di seluruh wilayah Turkiye dijangka berakhir malam ini.
Ini berikutan harapan untuk menemukan mangsa hidup dikatakan makin sukar selepas dua minggu tragedi berkenaan berlaku.
Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD), Yunis Sezar mengesahkan perkara itu, lapor Al Jazeera.
Yunis berkata, operasi berkenaan sudah ditamatkan di kebanyakan wilayah selepas hampir dua minggu tragedi berkenaan.
“Jumlah kematian akibat gempa bumi meningkat kepada 40,642 di Turkiye dan kerja mencari dan menyelamat mangsa yang tersepit di bawah runtuhan berakhir di kebanyakan wilayah.
“Kami percaya kami akan menamatkan operasi mencari dan menyelamat malam esok,” katanya.
Setakat ini, 40,642 kematian dilaporkan di Turkiye dan lebih 5,800 di Syria.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 26 juta orang di seluruh Turkiye dan Syria memerlukan bantuan kemanusiaan. – Malaysiapost