Pantau menu RMT di sekolah – Nurul Izzah
KONTRAK program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah perlu dipantau dan tidak diberikan secara sembrono bagi memastikan menu disediakan mengandungi nutrisi tinggi, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, berkata ia juga bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang akan mengaut keuntungan daripada makanan pelajar B40.
Menurutnya, ini kerana masih ramai pelajar B40 tidak mendapat nutrisi yang mencukupi terutama mereka yang berada di bandar.
“Saya dapat tahu ramai pelajar B40 tidak mendapat nutrisi yang mencukupi setiap hari, terutama mereka di bandar.
“Kita ada RMT untuk murid-murid ni, tapi tidak kesemua mereka yang dapat makanan bernutrisi di sekolah.
“Bila di rumah, sesetengah ibu bapa memang tak mampu nak sediakan makanan di atas meja akibat kemiskinan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu Nurul Izzah mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk membincangkan isu sekuriti makanan dalam kalangan keluarga B40.
Program RMT sebelum ini mendapat perhatian umum berikutan pendedahan netizen tentang kekurangan makanan berkhasiat yang disediakan untuk pelajar sekolah B40.
Dalam pada itu, Nurul Izzah mendakwa golongan B40 semakin menderita berikutan kuasa membeli golongan itu mengecut secara drastik akibat inflasi.
Katanya, makanan adalah keperluan asas dan semua keluarga berhak mendapat akses yang sama kepada sumber itu.
“Saya dengar ada sekolah yang menggunakan susu pekat sebagai pengganti susu dan hanya bagi mi dalam sukatan yang sangat kecil.
“Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS), 21.8 peratus kanak-kanak di Malaysia membesar dengan tumbesaran terbantut akibat pengambilan makanan yang tidak seimbang.
“Yang ni kita sendiri boleh lihat dengan jelas di mana sesetengah pelajar sekolah terjejas tumbesarannya,” katanya. – Malaysiapost