Pasukan tenis remaja negara juarai kejohanan dunia

Pasukan tenis remaja negara juarai kejohanan dunia

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pasukan tenis remaja atas kejayaan mereka menjuarai kejohanan Tenis Remaja Dunia Asia/Oceania di Colombo, Sri Lanka, semalam.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, beliau berharap kejayaan dicapai itu akan mendorong lebih ramai golongan muda untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

“Tiga ‘puteri’ Malaysia tawan pentas antarabangsa! Tahniah kepada Daniaa Daniela Abd Hazil, Lynn Lim dan Raihan Muhammad Azhari kerana menjuarai 2023 World Junior Tennis Asia/Oceania di Colombo, Sri Lanka.

“Moga kejayaan mendorong lebih ramai bakat muda mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya.

Dalam kejohanan itu pasukan negara yang dipimpin jurulatih Zulkhairi Mohd Khir berjaya menumpaskan Singapura 3-0 pada perlawanan akhir.

“Pasukan tenis remaja negara 14 tahun kebawah berjaya menewaskan Singapura 3-0 dalam perlawanan akhir.

“Ini adalah kemenangan pertama selepas pasukan remaja negara menjuarai pusingan Pra-Kelayakan Kejohanan Tenis Remaja Dunia (ITF) Zon Asia Oceania pada 2015. Malaysia Boleh,” kata Zulkhairi di Facebook. – Malaysiapost

Komen