Pelantikan Anwar sebagai PM kukuh peranan OIC

Pelantikan Anwar sebagai PM kukuh peranan OIC

PELANTIKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan membantu mengukuhkan peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam kalangan negara anggota.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha ketika pertemuan sempena lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi.

Beliau berkata, Hissein Brahim turut mengalu-alukan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Menurut Zambry, dalam perbincangan pelbagai hala itu, Malaysia dan OIC berpandangan negara anggota perlu berusaha membantu pembinaan semula dan rekonstruksi negara umat Islam yang pernah menghadapi peperangan seperti Afghanistan, Iraq, Syria dan Libya.

“Amerika dan Eropah serta lain-lain kuasa besar perlu berusaha bersama dengan OIC untuk pembinaan semula negara tersebut melalui bantuan kemanusiaan tanpa
menggunakan dasar sekatan (sanction).

“Namun dalam konteks Afghanistan,
Malaysia bertegas dasar diskriminasi terhadap pendidikan wanita hendaklah
segera dihapuskan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu Zambry berkata, turut dibincangkan tentang kedudukan pelarian Rohingya.

Malaysia dan OIC katanya, menekankan peri pentingnya ia diselesaikan secara kerjasama antara ASEAN, PBB dan negara-negara berkepentingan.

“Kami juga bersetuju mengenai isu Palestin untuk terus diperjuangkan. Secara kolektif, kita mengutuk dasar apartheid Israel yang terus-menerus menekan rakyat Palestin.

Malaysia turut menyarankan agar pendekatan rekonstruksi sosio-ekonomi negara-negara miskin dan pasca perang melalui ekonomi dan sistem kewangan Islam dapat dilaksanakan.

“Ini termasuklah dengan menggunakan institusi zakat dan waqaf untuk membantu pembangunan semula negara-negara terbabit,” katanya.

Tambahnya, pengalaman Malaysia dalam sistem kewangan Islam dan mikro kredit dapatmenyumbang kepada usaha untuk mobilisasi sosial selain mempertingkat keupayaan ekonomi mereka dalam tempoh pasca perang. – Malaysiapost

Komen